Kehebatan Wudhu dan Kelalaian Umat Akhir Zaman

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاةِ فاغْسِلُواْ وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُواْ بِرُؤُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَينِ وَإِن كُنتُمْ جُنُباً فَاطَّهَّرُواْ وَإِن كُنتُم مَّرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاء أَحَدٌ مَّنكُم مِّنَ الْغَائِطِ أَوْ لاَمَسْتُمُ النِّسَاء فَلَمْ تَجِدُواْ مَاء فَتَيَمَّمُواْ صَعِيداً طَيِّباً فَامْسَحُواْ بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُم مِّنْهُ مَا يُرِيدُ اللّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍ وَلَـكِن يُرِيدُ لِيُطَهَّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ 

Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwudhulah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah - debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur. 

Surah Al Maidah: 6



Wudhu, dari segi bahasa, wudhu ialah nama bagi sesuatu perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu. Dari segi syarak, wudhu bermaksud membersihkan sesuatu yang tertentu dengan beberapa perbuatan yang tertentu yang dimulakan dengan niat, iaitu membasuh muka, membasuh kedua-dua belah tangan, menyapu kepala dan akhirnya membasuh kedua belah kaki dengan syarat-syarat dan rukun-rukun yang tertentu.

Rasanya kita sememangnya sudah mahir dan pakar dalam bab mengambil wudhu memandangkan kita sudah diajar, diasuh dan mengamalkannya sejak dari kecil. Seperti mana yang kita ketahui wudhu adalah kunci kepada solat, solat adalah tiang agama dan anak kunci syurga seseorang mukmin.


Dari Ali Bin Abu Talib r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda,

“Anak kunci dari solat ialah bersuci (wudhu), pembukanya ialah takbir dan penutupnya adalah salam”
(Hadis Riwayat As Syafie, Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah dan at Tirmidzi)


Dari Muaz Bin Jabal, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda,
"Adakah kamu mahu aku khabarkan tentang kepala, tiang dan menara kepada semua perkara?"

Aku (Muaz) menjawab, 
"Sudah tentu ya Rasulullah"

Lalu Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam berkata,
"Kepala semua perkara adalah Islam, Tiangnya adalah Solat dan Menaranya adalah Jihad"
(Hadis Riwayat at Tirmidzi)


Tetapi suka untuk saya kongsikan sesuatu sebagai satu peringatan kita bersama untuk memperbetulkan dan untuk diamalkan agar lebih sempurna wudhu kita. Jom tonton video pendek ini, hujan, peringatan dan amaran dari Sheikh Imran Hosein kepada seluruh umat Islam akhir zaman berkaitan cara dan kaedah pengambilan wudhu yang sebenarnya semakin hari semakin tidak berpandukan kepada ajaran sunnah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, sebaliknya lebih kepada pelakuan membazir.

Amalan pembaziran ketika berwudhu sangat kurang dititikberatkan oleh umat Islam masa kini, amat segelintir di kalangan kita hari ini yang memahami hakekat ini, dan majoriti di kalangan kita mungkin kurang atau pun tidak memahami hakekat pembaziran ketika berwudhu. Lupakah kita akan amaran Allah Subhanahu Wa Ta'ala akan hal pembaziran yang sebenarnya ini amalan penghuni neraka, iaitu syaitan dan golongan Ya'juj dan Ma'juj? Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman,


إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُواْ إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُوراً
Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya

Surah Al Israa: 27


Di dalam sebuah hadith Qudsi, Allah Subhanahu Wa Ta'ala (akan) berfirman kepada Nabi Isa a.s.,

"Aku telah jadikan di antara hamba-hamba Ku segolongan manusia Ya'juj dan Ma'juj yang tidak dapat dikalahkan, bawa orang-orang ini dengan selamat ke Tur, Kemudian Allah Subhanahu Wa Ta'ala akan menghantar Ya'juj dan Ma'juj yang akan turun dari segenap cerun, yang pertama daripada mereka akan melewati tasik Tiberias (laut Galilee atau Kinneret) dan meminum airnya (menggunakan untuk hidup). Apabila yang terakhir dari mereka melewatinya, dan berkata: "Dahulu pernah ada air disini"....

(Hadis Riwayat Muslim)


Diriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah melintasi Saad bin Abi Waqas r.a. yang sedang berwudhu, lalu Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam bertanya,

“Mengapa engkau berlebih-lebihan seperti ini wahai Saad?”

Saad bertanya,
“Apakah di dalam wudhu juga ada istilah berlebih-lebihan?”

Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab,
“Benar, sekalipun engkau berada di sungai yang mengalir.”
(Hadis Riwayat Ahmad)


Natijah dari pembaziran ketika berwudhu akan memberi impak kepada solat kita, secara zahir mahu pun batin, apabila permulaan yang dilakukan sudah tidak menurut apa yang diperintahkan olehNYA, maka hasilnya juga tidak seperti apa yang diinginkan oleh kita. Semoga kita bersama berusaha memperbaiki cara dan kaedah berwudhu kita menurut amalan sunnah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam..





Kehebatan Wudhu 


Sebahagian Dari Iman

Dari Abu Malik al-Ash’ari r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda,

"Bersuci itu adalah sebahagian daripada iman..."
(Hadis Riwayat Muslim, no. 223)


Kesempurnaan Wudhu, Penghapu Dosa

Pengambilan wudhu yang sempurna bukan sahaja menjamin diterimnya solat tetapi ianya juga dapat menghapuskan dosa-dosa selagi tidak melakukan kesyirikan. Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda,

Dari Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda,

"Apabila seseorang hamba muslim atau mukmin berwudhu maka setelah ia membasuh wajahnya, keluarlah dari wajahnya segala dosa yang telah dilihat oleh kedua matanya melalui air atau bersama titisan air yang terakhir. Ketika membasuh kedua tangannya keluarlah dari kedua tangannya setiap dosa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya bersama air atau bersama titisan air yang terakhir. Sewaktu ia membasuh kedua belah kakinya, keluarlah dari kedua kakinya setiap dosa yang dilangkah oleh kedua kakinya bersama air atau bersama air terakhir sehinggalah setelah ia selesai berwudhu ia bersih dari dosa-dosanya".
(Hadis Riwayat. Muslim, 1/148)


"Barangsiapa yang berwudhu’ seperti ini (seperti wudhu’nya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam), diampunkan dosa-dosanya yang telah berlalu dan solat serta perjalanannya ke masjid adalah dipenuhi pahala".
(Hadia Riwayat Muslim, 3/113)


Dari Abi Umamah r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda,

"Apabila seseorang muslim berwudhu maka akan keluar dosa-dosanya dari pendengarannya (telinganya), matanya, tangannya dan dari kedua kakinya. Apabila ia duduk menanti solat, ia duduk dalam keampunan (diampunkan) dosa-dosanya".
(Hadis Riwayat. Ahmad, 5/252. Hadis Hasan: Lihat Jami’ as-Saghir, No. 461)


Wudhu Mengangkat Darjat Manusia

Dari Abu Hurairahr.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda,

"Sukakah kamu semua sekiranya aku tunjukkan kepada kalian akan amalan yang dapat menghapuskan kesalahan-kesalahan dan mengangkat beberapa darjat kalian?

Mereka menjawab:
“Ya, wahai Rasulullah”.

Maka Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam pun bersabda:
“Iaitu (antaranya) menyempurnakan wudhu walaupun dalam keadaan yang tidak disenangi (seperti kesejukan dan sebagainya)…”
(Hadis Riwayat Muslim, no. 253)


Wudhu Pembuka Pintu Syurga

Dari Umar bin al-Khattab r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda,

"Tiada seorang pun dari kalian yang berwudhu, lalu ia menyampaikan atau meratakan wudhunya, kemudian dia mengucapkan:


“Asyhadu al laa ilaaha illAllah wahdahu laa syarikalah, wa asyhadu anna Muhammadan 'Abdahu wa rasulluh, Allah hummaj 'alni minat tawwaabin, waj'alni minal mutatohhiriin”

melainkan dibukalah untuknya pintu syurga yang lapan, dia boleh memasuki dari pintu mana pun yang dia kehendaki."
(Hadis Riwayat Muslim, no. 234)


Wudhu Pemberi Cahaya Di Akhirat

Dari Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda,

"Perhiasan-perhiasan di syurga itu sampai di tubuh seorang mukmin, bersesuaian dengan anggota yang
dicapai oleh wudhu".
(Hadis Riwayat Muslim, no. 250)


Wudhu Pembuka Ikatan Syaitan

Dari Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda,

"Bahawa syaitan mengikut manusia ketika tidur di malam hari, dengan tiga ikatan". Kemudian Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam memberitahu cara untuk merungkai ikatan tersebut :

“…sekiranya dia (manusia) bangun (dari tidurnya), dan mengingati Allah, bebaslah satu ikatan. Sekiranya dia berwudhu pula, bebaslah satu ikatan lagi, dan sekiranya dia bersolat, bebaslah satu ikatan lagi. Maka dia akan menjadi segar dan baik dirinya. Sekiranya dia tidak melakukannya (berzikir, wudhu, dan bersolat), maka dia akan menjadi buruk dan pemalas”.
(Hadis Riwayat Bukhari, no. 1091)


Sheikh Khatri Al Maliki menunjukkan cara dan kaedah pengambilan wudhu mengikut sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tanpa ada pembaziran dalam penggunaan air.


semoga Allah Subhanahu Wa Ta'ala menambahkan kefahaman rahsia ilmuNYA kepada kita semua,
dalam segala hal, Allahu a'lam..