Basirah dan Mata

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفاً فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui,

Surah Ar Rum: 30


قُلْ هَـذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَاْ وَمَنِ اتَّبَعَنِي
Ini adalah jalanku; aku menyeru manusia kepada Allah berdasarkan kepada 'basirah' (dalil yang nyata) ataupun pemandangan matahati, aku dan mereka yang mengikutku.

Surah Yusuf: 108


وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيراً مِّنَ الْجِنِّ وَالإِنسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لاَّ يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لاَّ يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لاَّ يَسْمَعُونَ بِهَا أُوْلَـئِكَ كَالأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُوْلَـئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai

Surah Al Araf: 179


يُؤتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْراً كَثِيراً وَمَا يَذَّكَّرُ إِلاَّ أُوْلُواْ الأَلْبَابِ
Allah menganugerahkan al hikmah (kefahaman yang dalam tentang Al Qur'an dan As Sunnah) kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang dianugerahi hikmah, ia benar-benar telah dianugerahi kurniaan yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah)

Surah Al Baqarah: 269



Basirah bererti penjelasan atau petunjuk, di dalam istilah tasawuf erti basirah adalah hati yang diterangi oleh sinar kepastian yang tersembunyi dan tidak nampak tetapi ianya dilihat dengan 'rasa' yang pasti kurniaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Pandangan yang jelas (basirah) datangnya daripada mata kepada roh. Mata ini terbuka (hidup) di dalam jantung hati orang-orang yang hampir dengan Allah Subhanahu Wa Ta'ala, yang menjadi sahabat Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Semua ilmu di dalam dunia ini tidak akan mendatangkan pandangan dalam (basirah). Seseorang itu memerlukan pengetahuan yang datangnya daripada alam ghaib yang tersembunyi pengetahuan yang mengalir daripada kesedaran Ilahi. 


فَوَجَدَا عَبْداً مِّنْ عِبَادِنَا آتَيْنَاهُ رَحْمَةً مِنْ عِندِنَا وَعَلَّمْنَاهُ مِن لَّدُنَّا عِلْماً
Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami (ilmu laduni)

Surah Kahf: 65


Allah Subhanahu Wa Ta'ala telah memberikan suatu penglihatan yang halus dalam hati setiap manusia yang dikenali dengan basirah yakni mata hati atau mata roh, dan tidak ada kekuasaan apapun di dunia ini dapat memberikan basirah kerana ia merupakan rahsia Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Penyingkapan basirah adalah penting bagi memahami kalam hikmat di atas malah lebih penting lagi buat kita yang ditakdirkan hidup di akhir zaman ini. Mata hati ialah mata bagi hati, ia juga dipanggil sebagai mata dalaman. Istilah ‘mata dalaman’ digunakan bagi membezakan istilah ini dengan mata yang zahir ataupun mata kasar, iaitu dua biji mata yang dimiliki di kepala setiap manusia. Perbezaan nama dan gelaran antara mata zahir dan mata hati juga membezakan fungsi dan peranan, mata kasar manusia berperanan agar dapat melihat segala yang zahir atau yang terlihat di dunia ini secara nyata, terus dan realiti, manakala untuk melihat hal ghaib atau sebaliknya. 


Setiap manusia mempunyai dua jenis 'diri', iaitu diri zahir dan diri batin. Diri zahir terbentuk daripada daging, darah, tulang, rambut, kulit dan lain-lain. Diri zahir ini berkebolehan untuk melihat, mendengar, mencium, merasa dan menyentuh. Diri zahir memperolehi kehidupan dari perjalanan darah ke seluruh tubuhnya dan aliran nyawa dalam bentuk wap atau gas yang keluar masuk melalui hidung dan mulut. Jika darahnya dikeringkan atau dibekukan ataupun jika aliran wap yang keluar masuk itu disekat maka diri zahir akan mengalami satu keadaan di mana sekalian bahagiannya terhenti berfungsi dan ia dinamakan mati! Diri zahir ini jika disusun dapatlah dikatakan bahawa ia terdiri daripada tubuh dan nyawa serta deria-deria yang dapat mengenal sesuatu yang zahiriah. Pusat kawalannya ialah otak yang mengawal keberkesanan deria-deria dan juga mencetuskan daya timbang atau akal fikiran.




Sekiranya seseorang itu tidak mempunyai dan tidak menggunakan Basirah atau mata hatinya untuk memahami ilmu-ilmu pengenalan terhadap Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan rukun-rukun agama dan segala aspek yang berkaitan dengannya, sebaliknya hanya menggunakan akal fikiran yang bersandarkan kepada deria pancaindera yang lima sahaja, dia tidak mungkin dapat memahaminya sama sekali ilmu-ilmu tersebut. Ini adalah disebabkan akal fikiran yang bersandarkan kepada lima deria pancaindera pada diri manusia akan menerbitkan khayalan dan memerlukan fakta logik yang dapat diterima dan munasabah pada akal. Akal manusia memang dapat memecahkan berbagai masalah yang dihadapinya, namun kemampuan akal sangat terbatas dan penuh spekulasi sehingga tidak mungkin mencapai kebenaran yang sebenarnya. 




Pembuktian rasional yang bersumber dari akal tidak lebih hanya berupa gerak fikiran dari suatu pengertian dan pemahaman yang menuju kesimpulan bagi menghasilkan keputusan. Pengetahuan yang demikian biasanya hanya mampu memberikan pengertian sesuatu tetapi tidak mampu melihat hakikat secara meyakinkan. Sedangkan untuk memahami ilmu mengenali Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan zatNya yang tidak berjuzuk itu tidak akan dapat difahami sekiranya menggunakan akal fikiran khayalan yang bersandarkan kepada pancaindera yang lima, ini adalah kerana sifat manusia itu sendiri adalah lemah ditambah pula pemahaman yang sedikit yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala kepada kita tentang sesuatu ilmu.


وَخُلِقَ الإِنسَانُ ضَعِيفاً
dan manusia dijadikan bersifat lemah.

Surah An Nisa: 28


قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُم مِّن الْعِلْمِ إِلاَّ قَلِيلاً
Katakanlah: "Roh itu termasuk urusan Tuhan-ku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit".

Surah Al Israa': 85


Diri batin juga mempunyai susunan yang sama seperti diri zahir tetapi dalam keadaan ghaib. Ia juga mempunyai tubuh yang dipanggil kalbu atau hati. Hati yang dimaksudkan bukanlah seketul daging yang berada di dalam tubuh. Ia merupakan hati rohani. Ia bukan kejadian alam kasar, sebab itu ia tidak dapat dikesan oleh pancaindera zahir. Ia termasuk di dalam perkara- perkara ghaib yang diistilahkan sebagai Latifah Rabbaniah atau hal yang menjadi rahsia Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Apabila di dalam keadaan suci bersih ia dapat mendekati Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Ia juga yang menjadi tilikan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Hati seni ini juga memiliki nyawa yang dibahasakan sebagai roh. Roh juga termasuk di dalam golongan Latifah Rabbaniah. Ia adalah urusan Tuhan dan manusia hanya mempunyai sedikit pengetahuan mengenainya.


Mata hati juga mempunyai sifat yang berkemampuan mencetuskan pemahaman dan pengetahuan. Ia dipanggil akal yang juga termasuk di dalam golongan Latifah Rabbaniah yang tidak mampu dihuraikan. Akal jenis ini berguna bagi pengajian tentang ketuhanan. Tubuh zahir mempunyai deria-deria untuk mengenal perkara zahiriah. Deria-deria tersebut dipanggil penglihatan, pendengaran, penciuman, perasaan dan penyentuhan dan alat-alat yang bersangkutan ialah mata, telinga, hidung, lidah, tangan dan lain-lain. Tubuh diri batin juga mempunyai deria yang mengenal perkara ghaib dan deria itulah basirah atau mata hati.


Apa yang ada di sekeliling kita boleh dilihat melalui dua aspek iaitu yang nyata dilihat dengan mata zahir dan yang ghaib dilihat dengan mata hati. Jika kita ambil satu buku gula, mata kasar melihat sejenis hablur berwarna keputihan. Bila diletakkan pada lidah terasalah manisnya. Ketika menikmati kemanisan itu kita seolah-olah memandang jauh kepada sesuatu yang tidak ada di hadapan mata. Kelakuan merenung jauh itu sebenarnya adalah terjemahan kepada perbuatan mata hati memandang kepada hakikat gula iaitu manis. Bagaimana rupa manis tidak dapat diceritakan tetapi mata hati yang melihat kepadanya mengenal bahawa gula adalah manis. Jika mata zahir melihat sebilah pedang, maka mata hati akan melihat pada tajamnya. Jika mata zahir melihat kepada lada, mata hati melihat kepada pedasnya. Jadi, mata zahir mengenal dan membezakan rupa yang zahir sementara mata hati mengenal dan membezakan hakikat kepada yang zahir. Mata hati yang hanya berfungsi setakat mengenal manis, tajam, pedas dan yang seumpamanya masih dianggap sebagai mata hati yang buta. Mata hati hanya dianggap celik jika ia mampu melihat urusan ketuhanan di sebalik yang nyata dan yang tidak nyata.



Kekuatan suluhan mata hati bergantung kepada kekuatan hati itu sendiri. Semakin bersih dan suci hati bertambah teranglah mata hati. Jika ia cukup terang ia bukan sahaja mampu melihat kepada yang tersembunyi di sebalik rupa yang zahir di sekeliling kita malah ia mampu melihat atau syuhud apa yang di luar daripada dunia. Dunia adalah segala sesuatu yang berada di dalam bulatan langit yang pertama atau langit dunia atau langit rendah. Langit rendah ini merupakan sempadan dunia. Selepas langit dunia dinamakan Alam Barzakh. Meninggal dunia membawa maksud roh yang rumahnya iaitu jasad telah tidak sesuai lagi didiaminya atau dipanggil sebagai mengalami kematian, dibawa keluar dari langit dunia dan ditempatkan di dalam Alam Barzakh.


Fungsi mata hati ialah melihat yang hakiki. Mata hati yang mampu melihat dunia secara keseluruhan sebagai satu wujud akan mengenali apa yang hakiki tentang dunia itu. Oleh sebab penyaksian mata hati bersifat tidak dapat dinyatakan secara terang maka ia memerlukan ibarat untuk mendatangkan kefahaman. Ibarat yang biasa digunakan bagi menceritakan tentang hakikat dunia ialah: “Dunia adalah seorang perempuan yang sangat tua dan sangat hodoh. Tubuhnya kotor dan berpenyakit, menanah di sana sini dan ada bahagiannya yang sudah dimakan ulat ”. Begitulah lebih kurang perasaan orang yang melihat kepada hakikat dunia dengan mata hatinya. Bagaimana rupa hakikat yang menyebabkan timbul perasaan dan ibarat yang demikian tidak dapat dihuraikan.


Mata hati yang lebih kuat mampu pula menyaksikan Alam Barzakh dan mengenali satu lagi hakikat yang dinamakan keabadian, iaitu sifat hari akhirat. Kematian membinasakan jasad dan kiamat membinasakan alam seluruhnya tetapi tidak membinasakan Roh yang padanya tergantung kitab amalan masing-masing. Ahli maksiat tidak dapat diselamatkan oleh kematian dan kiamat. Ahli taat yang tidak mendapat ganjaran yang setimpal di dunia tidak binasa ketaatannya oleh kematian dan kiamat. Tanggungjawab seseorang hamba akan terus dipikulnya melepasi kematian, Alam Barzakh, kiamat, Padang Mahsyar dan seterusnya menghadapi Pemerintah hari pembalasan. Tanggungjawab itu hanya gugur setelah Hakim Yang Maha Bijaksana dan Maha Adil lagi Maha Mengetahui serta Maha Perkasa menjatuhkan hukuman. Inilah hakikat yang ditemui oleh mata hati yang menyelami Alam Barzakh, bukan melihat roh orang mati di dalam kubur.


Mata hati berfungsi mengenal perkara yang ghaib. Makrifat atau pengenalan kepada keabadian atau hari akhirat akan melahirkan kesungguhan pada menjalankan amanat Allah Subhanahu Wa Ta'ala iaitu mengerjakan perintahNya dan menjauhi laranganNya. Amanat itu akan terus dibawa oleh para hamba untuk diserahkan kembali kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang meletakkan amanat tersebut kepada mereka. Makrifat mata hati yang demikian melahirkan sifat takwa dan beramal soleh. Apabila takwa dan amal soleh menjadi sifat seorang hamba maka masuklah hamba itu ke dalam jaminan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.


هُوَ الَّذِي يُرِيكُمْ آيَاتِهِ وَيُنَزِّلُ لَكُم مِّنَ السَّمَاءِ رِزْقاً وَمَا يَتَذَكَّرُ إِلَّا مَن يُنِيبُ
Dialah Tuhan yang memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda keesaan-Nya dan kekuasaan-Nya (untuk menghidupkan rohani kamu), dan yang menurunkan (untuk jasmani kamu) sebab-sebab rezeki dari langit. Dan tiadalah yang ingat serta mengambil pelajaran (dari yang demikian) melainkan orang yang sentiasa bertumpu (kepada Allah).

Surah al-Mu’min: 13

Sila klik butang 'captions' untuk sarikata Bahasa Melayu


اللَّهُ نُورُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ مَثَلُ نُورِهِ كَمِشْكَاةٍ فِيهَا مِصْبَاحٌ الْمِصْبَاحُ فِي زُجَاجَةٍ الزُّجَاجَةُ كَأَنَّهَا كَوْكَبٌ دُرِّيٌّ يُوقَدُ مِن شَجَرَةٍ مُّبَارَكَةٍ زَيْتُونِةٍ لَّا شَرْقِيَّةٍ وَلَا غَرْبِيَّةٍ يَكَادُ زَيْتُهَا يُضِيءُ وَلَوْ لَمْ تَمْسَسْهُ نَارٌ نُّورٌ عَلَى نُورٍ يَهْدِي اللَّهُ لِنُورِهِ مَن يَشَاءُ وَيَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ لِلنَّاسِ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu - dengan sendirinya - memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Surah An Nur: 35


Mata hati melihat kepada yang hak dalam keghaiban. Nafsu yang hanya berminat dengan kebendaan yang nyata menutupi yang hak itu dan akal mengadakan hujah untuk menguatkan keraguan yang tumbuh pada nafsu. Perkara ghaib disaksikan dengan keyakinan. Jika nafsu dan akal bersepakat mengadakan keraguan, kebenaran yang ghaib akan terhijab. Orang yang mencari kebenaran tetapi gagal menundukkan nafsu dan akalnya akan berpusing-pusing di tempat yang sama. Keyakinan dan keraguan sentiasa berperang dalam jiwanya..




semoga Allah Subhanahu Wa Ta'ala menambahkan kefahaman rahsia ilmuNYA kepada kita semua,
dalam segala hal, Allahu a'lam..