Ramadhan - Puasa dan Kekuatan

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Alhamdulilah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi yang mempertemukan kita dengan bulan Ramadhan yang mulia. Tetamu Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang cuma datang setahun sekali. Ramadhan kali ini sebenarnya berbeza dengan Ramadhan yang lalu kerana usia kita semakin bertambah. Maka dengan itu kita sepatutnya lebih merasai kehangatan Ramadhan kali ini dengan menambahkan amalan dan kebaikan berbanding Ramahan sebelumnya. Ambillah peluang yang tiba ini, kerana besar kemungkinan kita tidak akan menemuinya di tahun hadapan. Dalil berkaitan suruhan berpuasa adalah seperti berikut;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ 
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.


أَيَّاماً مَّعْدُودَاتٍ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضاً أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ فَمَن تَطَوَّعَ خَيْراً فَهُوَ خَيْرٌ لَّهُ وَأَن تَصُومُواْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui 


شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِيَ أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَن كَانَ مَرِيضاً أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُواْ الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ اللّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ 
(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur."


وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُواْ لِي وَلْيُؤْمِنُواْ بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ 
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. 


أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَى نِسَآئِكُمْ هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ عَلِمَ اللّهُ أَنَّكُمْ كُنتُمْ تَخْتانُونَ أَنفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنكُمْ فَالآنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُواْ مَا كَتَبَ اللّهُ لَكُمْ وَكُلُواْ وَاشْرَبُواْ حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّواْ الصِّيَامَ إِلَى الَّليْلِ وَلاَ تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ تِلْكَ حُدُودُ اللّهِ فَلاَ تَقْرَبُوهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللّهُ آيَاتِهِ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ 
Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan puasa bercampur dengan isteri-isteri kamu; mereka adalah pakaian bagimu, dan kamupun adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahwasanya kamu tidak dapat menahan nafsumu, karena itu Allah mengampuni kamu dan memberi ma'af kepadamu. Maka sekarang campurilah mereka dan ikutilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu, dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, yaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam, (tetapi) janganlah kamu campuri mereka itu, sedang kamu beri'tikaf dalam mesjid. Itulah larangan Allah, maka janganlah kamu mendekatinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada manusia, supaya mereka bertaqwa."

Surah Al Baqarah: 183-187

Dalam ayat-ayat di atas kita telah diberitahu dengan jelas bahawa puasa telah diwajibkan kepada umat Islam sebagaimana telah diwajibkan kepada pemeluk ajaran-ajaran terdahulu dan umat-umat sebelum Islam. Ayat-ayat di atas juga menjelaskan hasil yang akan diperoleh dari pelaksanaan ibadah ini serta hikmah yang terkandung di dalamnya. Salah satu dari hikmah puasa boleh dilihat dalam firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud: "agar kamu bertaqwa."

Puasa di dalam bulan Ramadhan adalah salah satu rukun Islam. Setiap detik sepanjang bulan Ramadhan adalah sebaik-baik masa dan sebaik-baik hari di atas muka bumi ini. Allah Subhanahu Wa Ta'ala telah memberikan kelebihan yang banyak kepada bulan Ramadhan berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Puasa tidak diwajibkan sepanjang tahun, dan tidak juga untuk waktu yang sebentar melainkan pada hari-hari yang terbatas, iaitu hari-hari bulan Ramadan, dari terbit fajar sampai terbenamnya matahari. Kerana, jika puasa diwajibkan secara terus menerus sepanjang tahun atau sehari semalam tanpa henti, ia akan membebankan. Begitu pula jika hanya untuk waktu separuh hari, tentu tidak akan memiliki pengaruh apa-apa, akan tetapi puasa diwajibkan untuk waktu sepanjang hari mulai dari terbit fajar hingga matahari terbenam, dan dalam hari-hari yang telah ditentukan.

Allah Subhanahu Wa Ta'ala juga membuktikan kasih sayangNya kepada hamba-hambaNya dengan memberikan kelonggaran kepada orang yang sakit (yang boleh membahayakan dirinya jika berpuasa) dan orang yang dalam perjalanan jauh (yang membebankan dirinya jika melaksanakan puasa) diperbolehkan untuk berbuka dan menggantinya pada hari yang lain, sesuai dengan jumlah puasa yang ia tinggalkan.

Dengan kalam-Nya Allah Subhanahu Wa Ta'ala telah menegaskan kepada manusia keutamaan puasa di bulan suci Ramadhan sebagai bulan keberkahan, di mana Allah Subhanahu Wa Ta'ala memberikan nikmat sekaligus mukjizat yang begitu agung kepada hamba-hambaNya, iaitu diturunkan al Quran. Ayat-ayat al Quran juga menjelaskan bahawa Allah Subhanahu Wa Ta'ala begitu dekat dengan hambaNya, yang selalu menjawab doa hamba-hambaNya di mana pun dan bila-bila masa pun, tidak ada pemisah antara keduanya. Bagi seorang Muslim, digalakkan untuk selalu berdoa, memohon ampun kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, beribadah dengan ikhlas, beriman, dan tidak menyekutukanNya, dengan harapan Allah Subhanahu Wa Ta'ala akan mengabulkan semua doa dan permintaan.

Bulan Puasa adalah bulan untuk meningkatkan amal ibadat kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Ketaqwaan mempunyai dua dimensi iaitu dapat dinilai secara moral dan rohani. Taqwa bukan setakat melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan. Bukan setakat menunaikan ketaatan dan menjauhkan kemaksiatan. Bukan setakat membuat apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Bukan juga setakat meninggalkan apa yang haram dan menunaikan apa yang fardhu. Bukan setakat menjauhkan yang syirik dengan beramal dan taat kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Bukan setakat menjauhkan diri dari segala apa yang akan menjauhkan diri kita daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Bukan setakat menghadkan diri kepada yang halal sahaja.

Sebagai tambahan, walaupun istilah taqwa selalu disebut tetapi ilmu tentang taqwa tidak pernah diajar. Jalan untuk mendapatkan taqwa beramal untuk menjuruskan ketaatan kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala semata-mata. Taqwa itu tersangat dipermudahkan sehingga orang tidak merasakan bahawa taqwa itu penting dan perlu diperjuangkan demi untuk mendapat keselamatan di dunia dan akhirat. Maksud taqwa sebenarnya lebih dalam dan lebih luas dari itu. Taqwa adalah antara perkara yang terpokok dalam agama.


Dari Ibnu Mas'ud r.h., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: 

"Ya Allah, sesungguhnya saya memohonkan padaMu akan petunjuk, ketaqwaan, menahan diri dari apa-apa yang tidak diperkenankan serta kekayaan hati." 
(Hadis Riwayat Muslim) 


Dari Abu Umamah iaitu Shuday bin 'Ajlan al-Bahili r.h., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam berkhutbah dalam haji wada' (haji terakhir) bersabda: 

"Bertaqwalah kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, kerjakanlah solat lima waktumu, lakukanlah Puasa dalam bulanmu (Ramadhan), tunaikanlah zakat harta-hartamu dan taatilah pemegang- pemegang pemerintahanmu, maka kamu semua akan dapat memasuki syurga Tuhanmu." 
(Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dalam akhir kitab bab solat dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan sahih)


Dimanakah Kedudukan Puasa Kita?

Imam al-Ghazali dalam kitabnya berjudul ‘lhya Ulurniddin’ menyebut “Puasa ada tiga kedudukan, 

1- Puasa al-umum ialah menahan perut dan kemaluan dari memenuhi kehendak syahwat. 

2- Puasa al-khusus pula ialah menahan pendengaran, penglihata, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota badan dari melakukan dosa. 

3- Puasa khusus al-khusus ialah menahan hati dari keinginan yang buruk dan dari memikirkan sesuatu selain dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala secara sepenuhnya. Puasa akan terbatal pada tahap ini lantaran memikirkan perkara-perkara selain dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan hari akhirat. Demikian juga akan terbatal puasa dengan memikirkan dunia kecuali urusan dunia yang kepentingannya untuk agama kerana itu termasuk dalam bekalan akhirat dan bukan urusan dunia. Arbab al-zulub (orang yang prihatin dengan hati mereka) berkata: sesiapa yang pada siang Ramadhan tergerak keinginannya mencari apa yang akan dimakan ketika berbuka puasa, maka ditulis satu kesalahan, kerana ianya lahir daripada sikap kurang percaya kepada pemberian Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan kurang yakin terhadap rezekinya yang telah dijanjikan. Tahap puasa seperti ini ialah tahap para nabi, ash-Shiddiqin dan al-Muqarrabin. Puasa seperti ini ialah tahap para nabi, ash-Shiddiqin dan al-Muqarrabin. Puasa seperti ini tidak mungkin dapat digambarkan dengan perkataan tetapi boleh direalisasikan dengan amalan.”


Menurut Imam al-Ghazali juga bagi mencapai tahap puasa al-khusus iaitu puasa orang soleh maka perlu menyempurnakan enam perkara iaitu;

1- Menundukkan pandangan dan menahan dari melihat perkara yang tercela dan dibenci oleh syariat serta dari segala perkara yang boleh menggangu dan melalaikan hati dari mengingati Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

2- Memelihara lidah dari menuturkan perkataan yang tidak berfaedah seperti gurau senda, mengumpat, dusta dan sebagainya. Hendaklah lebih banyak berdiam diri, memperbanyakkan zikir dan membaca al-Quran.

3- Menahan dari mendengar perkataan yang dibenci oleh syarak. Ini kerana setiap perkataan yang diharamkan dituturkan maka haram juga didengar.

4- Menahan anggota tubuh badan dari melakukan dosa seperti menahan tangan dan kaki dari perkara yang dilarang dan menahan perut dari perkara-perkara syubhat ketika berbuka. Ini kerana tidak ada makna berpuasa sekiranya pada siang hari menahannya dari makanan halal tetapi berbuka dengan makanan haram.

5- Tidak berlebihan ketika berbuka dengan makanan halal sehingga perut penuh dengan makanan tersebut. Ini kerana tidak ada bekas yang lebih dibenci oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala dari perut yang penuh dengan makanan halal. Bagaimana mungkin seseorang itu mampu mematahkan keinginan syahwatnya dan mengalahkan musuhnya sedangkan ketika berbuka dia seolah-olah hendak mengembalikan semula makanan yang terlepas ketika dia berpuasa pada siang harinya. Hingga sesetengah mereka memakan makanan yang tidak biasa dimakannya ketika hari tidak diwajibkan berpuasa.

6- Hendaklah timbul dalam hatinya rasa takut dan penghargaan kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, kerana dia tidak tahu sama ada puasanya diterima oleh Allah dan termasuk di kalangan orang yang berjaya, ataupun puasanya tidak diterima lalu dia termasuk di kalangan orang yang celaka.

Oleh yang demikian, dapat lah kita mengenal pasti kedudukan puasa kita yang sebelum ini? Adakah ia puasa khusus al-khusus, puasa al-khusus atau sekadar puasa al-umum sahaja? Semoga Ramadhan kali ini kita akan berusaha untuk menambahbaik dan meningkatkan tahapnya untuk medapat kesempuraan yang diredhai oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Bersama kita menonton, mendengar, memahami dan mengaplikasikan tausiyah yang telah diberikan oleh Sheikh Imran Hosein tentang ilmu kefahaman berkaitan puasa, sejarahnya dan sedikit situasi terkini politik dunia yang melibatkan kepelbagaian campuran ilmu, maklumat dan fakta.





 Buy This Book


Sebahagian Daripada Hadith Berkaitan Puasa


Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, 

"Setiap amalan baik anak Adam adalah untuk dirinya, setiap kebaikan digandakan dengan 10 kali ganda bahkan sampai 100 kali ganda. Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman; kecuali puasa; ia adalah untukKu dan Akulah yang akan membalasnya. Sungguh dia telah meninggalkan syahwatnya, makannya dan juga minumnya demi Aku. Untuk setiap orang yang puasa ada dua kegembiran; kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Perubahan bau mulut orang yang berpuasa lebih baik bagi Allah Subhanahu Wa Ta'ala dibandingkan dengan bau wangian kasturi. 
(Hadia Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 


Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, 

"Tiga doa yang sangat mustajab, doa orang yang puasa, doa orang yang di zalimi dan orang yang musafir"
(Hadia Riwayat al-Bukhari)


Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, 

"Doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa ialah ketika dia berbuka."
(Sunan Ibnu Majah)


Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda,

"Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya sama seperti pahala orang berpuasa, iaitu pahala orang berpuasa yang tidak dikurangkan walau sedikit".
(Sunan at-Tirmidzi)


Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda,

"Bukanlah puasa yang sebenar orang yang hanya tidak makan dan tidak minum, puasa yang sebenar adalah orang yang tidak melakukan perbuatan dan perkataan yang lagha (sia-sia) dan tidak bercakap perkataan yang keji." 
(Hadis Riwayat Hakim, Ibnu Hibban dan al-Baihaqi)


Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda,

"Apabila seseorang berpuasa, maka janganlah dia mengucapkan perkataan yang kotor dan jangan pula bertengkar. Sekiranya dia dimaki oleh seseorang atau diajak bergaduh maka hendaklah dia berkata: "Sesungguhnya saya sedang berpuasa." 
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda,

“Sesiapa yang tidak meninggalkan cakap bohong dan berkelakuan buruk ketika berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah Subhanahu Wa Ta'ala, baginya hanya lapar dan dahaga sahaja.” 
(Hadis Riwayat al-Bukhari)


Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, 

"Sesiapa berpuasa pada bulan Ramadan dengan sungguh-sungguh beriman dan ikhlas kerana Allah Subhanahu Wa Ta'ala semata-mata, nescaya diampuni Allah Subhanahu Wa Ta'ala dosa-dosanya yang terdahulu".
(Hadis Riwayat al-Bukhari)


Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda,

"Sesungguhnya di dalam syurga itu ada sebuah pintu yang disebut Pintu Rayyan. Semua orang yang berpuasa akan memasukinya pada hari kiamat dan tidak dibenarkan sesiapa pun selain daripada mereka memasukinya. Lalu dikatakan: 

"Di manakah orang yang berpuasa?" 

Lantas mereka pun berdiri dan tidak ada seorang pun yang dapat masuk selain orang yang berpuasa. Apabila sekalian orang berpuasa telah masuk, maka ditutuplah dan tiada seorang pun yang dapat memasukinya."
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Dari Abu Umamah r.a., aku bertanya kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, 

"Tunjukkan aku satu amalan yang membolehkan aku masuk syurga". 

Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: 
“Hendaklah kamu berpuasa, tiada lagi yang seumpamanya”. 
(Hadis Riwayat Ibnu Hibban)


Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda,

“Puasa adalah perisai yang akan melindungi seseorang daripada api neraka”. 
(Hadis Riwayat Ahmad)


Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda,

“Tidak ada seorang hamba yang berpuasa sehari di jalan Allah Subhanahu Wa Ta'ala kecuali Allah Subhanahu Wa Ta'ala akan menjauhkan dia dengan api neraka dengan jarak 70 tahun perjalanan”. 
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Doa Mula Sambut Bulan Ramadhan 

(Munculnya Bulan Sabit Sebagai Petanda Memasuki Ramadhan)

اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالأَمْنِ وَالإِيمَانِ وَالسَّلاَمَةِ وَالإِسْلاَمِ وَالتَّوْفِيقِ لِمَا يُحِبُّ رَبُّنَا وَيَرْضَى ، رَبُّنَا وَرَبُّكَ اللَّهُ
“Allah Maha Besar. Ya Allah, munculkanlah hilal itu kepada kami dengan membawa keamanan dan keimanan, keselamatan dan Islam, membawa taufiq kepada apa yang Engkau ridhai, Rabb kami dan Rabb kamu adalah Allah.” 
(Hadis Riwayat At-Tirmidzi dan Ad-Darimi) 


Sebahagian daripada amalan-amalan di bulan Ramadhan yang boleh kita amalkan adalah :

1- Lebihkan amalan solat sunat seperti solat sunat Isyrak, Dhuha, Rawatib, Taubat, Tarawih, Tahajjud dan Witir.
2- Tidak meringankan amalan bersahur lewat waktu dan berbuka awal waktu.
3-Membiasakan solat Fardu 5 waktu berjemaah di Masjid, Surau atau di rumah.
4- Memperbanyakan bacaan dan bertadarus Al Quran dan azam untuk khatam Al Quran.
5- Memperbanyakan iktikaf di Masjid atau surau.
6- Basahkan lidah dengan dzikir setiap masa yang terluang siang atau malam.
7- Menambah ilmu dengan membaca buku dan menghadiri masjlis ilmu dimana sahaja diadakan.
8- Bangun awal seawal 4.30 pagi untuk bersahur dan beramal menjelang subuh.
9- Mengurangkan hiburan dan aktiviti yang sia-sia yang boleh mengurangkan pahala puasa.
10- Perbanyakan sedekah.
11- Banyakan memberi makan kepada orang yang berbuka puasa walaupun hanya dengan sebiji kurma.
12- Melipat gandakan amalan beribadah pada 10 malam terakhir Ramadhan.
13- Berjimat berbuka puasa dan persediaan lebaran.
14- Membayar zakat fitra.


Syarat Wajib Berpuasa
1- Islam
2- Baligh
3- Berakal
4- Berupaya (sihat)
5- Bermukim


Syarat Sah Berpuasa
1- Islam
2- Berakal
3- Bersih daripada haid dan Nifas sepanjang hari 
4- Niat


Rukun Berpuasa
1- Niat
2- Menahan diri dari makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkannya


Tempoh Masa Berpuasa
Puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari


Niat Berpuasa Esok Hari

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى
Nawaitu Souma Ghodin 'An Adaa'i, Fardhi Syahri Ramadhaana Hadzihissanati Lillahi ta'ala
Sahaja aku puasa esok hari fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta'ala


Niat Berpuasa Sebulan Ramadhan

نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كِلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى
Nawaitu Souma Syahri Ramadhaana Kullihi Lillahi Ta'ala
Sahaja aku berpuasa sebulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala


Doa Berbuka Puasa

اللهم لك صمت وبك امنت وعلى رزقك أفطرت ياَ أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ
Allahumma Laka Shumtu Wa Bika Amantu Wa‘Alaa Rizqika Afthartu Birahmatika Yaa Arhamar Roohimiin
Ya Allah keranaMu aku berpuasa dan kepadaMu aku beriman dan di atas rezekiMu aku berbuka; Dengan RahmatMu wahai yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.



Doa Malam Lailatul Qadar

Dari ‘Aisyah r.h., berkata, “Wahai Rasulullah, apakah yang sebaiknya aku baca bila bertepatan dengan malam itu?” Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: “Bacalah :-

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
Allahumma Innaka 'Afuwwun Tuhibbul 'Afwa Fa' Fu 'Anni
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi ampunan dan menyukai orang yang memohon ampunan, maka ampunilah aku.” 

(Hadis Riwayat At-Tirmidzi 3760, Ibnu Majah 3850, Ahmad VI/171, Al-Hakim I/530 dan An-Nasa’i dalam Amalul Yaum wal Lailah, Shahih Jami’ At-Tirmidzi)





Daripada Abu Ayub r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallambersabda, 
"Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian mengiringinya dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal, pahalanya seperti berpuasa setahun"
(Hadis Riwayat Muslim)


Niat Puasa Sunat Enam Bulan Syawal

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ ِستَةٍ ِمنْ شَوَالٍ سُنَةً ِللَه تَعَالَي 
Nawaitu Shauma Ghadin ‘An Sittatin Min Syawwaalin Lillaahi Ta'aalaa
Sahaja aku puasa esok dari enam hari di bulan syawal kerana Allah Ta'ala



Fidyah
Ialah bayaran denda dengan memberi makan kepada orang miskin (secupak mewakili sehari puasa yang tidak dilaksanakan) dengan sebab-sebab tertentu atau mengakhirkan qada’ Ramadhan tanpa uzur sehingga Ramadhan yang berikutnya datang lagi. Satu cupak bersamaan dengan 620 gram makanan.

Hukum Fidyah
Wajib di keluarkan berdasarkan Firman Allah Ta’ala dalam Surah al Baqarah ayat ke 184 (rujuk di atas entry)

Sebab-sebab wajib Fidyah
1- Tidak mampu melaksanakan ibadah puasa
2- Sakit yang tidak mampu untuk sembuh
3- Wanita hamil atau menyusukan anak iaitu jika berpuasa mendatangkan kemudharatan kepada anak yang di kandung dan boleh mengurangkan air susu
4- Mengakhirkan qada’ Ramadhan tanpa uzur sehingga Ramadhan yang berikutnya datang lagi.


Bersama-sama kita sambut dengan hati yang ikhlas dan gembira untuk Ramadhan kali ini, menghayati sepenuh hati akan hikmah dan pengajaran bulan Ramadan iaitu bulan yang penuh dengan Rahmat, bulan Pengampunan dan bulan Pembebasan dari api neraka.

Dari Abu Hurairah r.h., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, 

"Apabila tiba bulan Ramadan, maka dibukalah pintu-pintu surga,
ditutuplah pintu neraka dan syaitan-syaitan diikat"
(Hadis Riwayat Muslim)

semoga Allah Subhanahu Wa Ta'ala menambahkan kefahaman rahsia ilmuNYA kepada kita,
dalam segala hal, Allahu a'lam..