Mata yang Dicintai oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ 

وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَى تَنفَعُ الْمُؤْمِنِينَ 
Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman 

Surah Adz-Dzaariyaat: 55



Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيراً مِّنَ الْجِنِّ وَالإِنسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لاَّ يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لاَّ يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لاَّ يَسْمَعُونَ بِهَا أُوْلَـئِكَ كَالأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُوْلَـئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam kebanyakan dari jin dan manusia yang mempunyai hati tetapi tidak mahu memahami dengannya ayat-ayat Allah, dan yang mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat dengannya bukti keesaan Allah dan yang mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar dengannya ajaran dan nasihat ; mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi ; mereka itulah orang-orang yang lalai.

Surah Al-A'raaf: 179




Kata Imam Al Ghazali r.a., 
"Hati adalah Raja. Hatilah penentu kecerdasan iman dan takwa kita"




Allah Subhanahu Wa Ta'ala amat memberikan perhatian kepada hati. Al Quran menggunakan istilah qalb (hati) sebanyak 132 kali, makna dasar kata itu ialah membalik, kembali, berubah atau naik-turun. Sesuai dengan latar belakangnya hati mempunyai sifat yang selalu berubah, sebab hati adalah nukleus dari kebaikan dan kejahatan, kebenaran dan kesalahan. Hati kita unik, boleh jadi kuat, dinamik, juga boleh sakit dan menjadi buta. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala.


أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَا أَوْ آذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَكِن تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ 
Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.

Surah Al Hajj: 46


Sedarkah kita akan hal ini? Masalah kepada hati manusia tatkala hatinya sudah menjadi buta. Tidak berfungsi sebagaimana sepatutnya. Maka amat penting bagi kita wahai anak muda untuk sentiasa menjaga dan merawat hati kita agar jangan sampai buta. Buta!? Hati yang buta bukan mata? Masih dapat melihat lagi lah...Benarkah? Cuba anda pejamkan sebentar mata anda. Apa yang anda nampak? Pasti kegelapan? Sekarang cuba berjalan ke hadapan atau ke mana-mana arah sahaja. Apakah perasaan anda? Takut tersungkur atau terlanggar sesuatu? Susah bukan apabila mata menjadi buta, sebab selama ini kita boleh melihat dan memandang sesuatu, tapi apabila gelap kita akan rasa tidak selesa dan tidak tenang.


Sekarang bayangkan kalau hati kita pula yang buta? Tidak mendapat petunjuk, hidayah dan kasih sayang Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Agaknya jika terus berjalan dalam keadaan hati buta, sudah banyak mana peraturan dan perintah Allah Subhanahu Wa Ta'ala telah kita langgar? Makin parah walaupun hatinya sudah buta dan tersungkur di pintu neraka, dia masih tidak dapat merasai apa-apa pun. Bahkan dia terus berjalan dengan kesombongan dan keegoan menghimpun dosa-dosanya. Agaknya bagaimana pula keadaan kita apabila hati kita bukan sahaja buta, tetapi sudah mati?


10 PENYEBAB BUTA MATA HATI

Menurut Ibrahim ibn Adham, seorang ahli tasawwuf yang masyur sezaman dengan Imam al Bukhari, hati manusia menjadi buta kerana,

1. Kamu mengenal Allah Subhanahu Wa Ta'ala, akan tetapi kamu tidak menunaikan HakNya
2. Kamu mencintai Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, akan tetapi menolak Sunnahnya
3. Kamu menbaca Al Quran, akan tetapi kamu tidak beramal dengannya
4. Kamu mampu makan nikmat Allah Subhanahu Wa Ta'ala, akan tetapi kamu tidak meneyukurinya
5. Kamu menyatakan syaitan itu musuh nyata, akan tetapi kamu tidak menentangnya
6. Kamu berkata bahawa syurga adalah benar, akan tetapi kamu tidak beramal untuknya
7. Kamu berkata bahawa neraka adalah benar, akan tetapi kamu tidak lari darinya
8. Kamu tahu mati itu pasti, akan tetapi kamu tidak pernah bersedia baginya
9. Kamu bangun dari tidur dan menceritakan keaiban manusia, akan tetapi kamu lupa aib sendiri
10. Kamu kebumikan mayat, akan tetapi kamu tidak mengambil iktibar daripadanya


Dari Abu Darda r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

"Jika sesiapa belajar dengan mata hati dalam 10 ayat pertama Surah Al-Kahf, dia akan dilindungi dari Dajjal"
(Hadis Riwayat Muslim)

Maka sudah tentulah terapi pertama malah yang diutamakan dalam mendidik hati kita adalah Al Quran disamping amalan Sunnah bagi mengukuhkan ketetapan hati. Inilah solusi kepada permasalahan umat hari ini. Kita harus yakin dengan Al Quran, bukan sekadar yakin membaca Al Quran beroleh pahala, tetapi yakin bahawa Al Quran lebih daripada itu. Al Quran bukan sekadar sebuah syair atau puisi yang sedap dilagu-lagukan semata, tetapi ianya sebuah petunjuk bagaimana kita harus beraksi dan berprestasi di dunia berpaksikan wahyu dan terselamat dari azab.


dan Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:


وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَاناً لِّكُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً وَبُشْرَى لِلْمُسْلِمِينَ 
dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam. 

Surah Al Nahl: 89


يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءتْكُم مَّوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَاء لِّمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ
Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.

Surah Yunus: 57


وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاء وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ وَلاَ يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إَلاَّ خَسَاراً 
Dan Kami turunkan dari Al Qur'an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al Qur'an itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.

Surah Al Israa': 82


أَفَمَن شَرَحَ اللَّهُ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ فَهُوَ عَلَى نُورٍ مِّن رَّبِّهِ فَوَيْلٌ لِّلْقَاسِيَةِ قُلُوبُهُم مِّن ذِكْرِ اللَّهِ أُوْلَئِكَ فِي ضَلَالٍ مُبِينٍ 
Maka apakah orang-orang yang dibukakan Allah hatinya untuk (menerima) agama Islam lalu ia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang membatu hatinya)? Maka kecelakaan yang besarlah bagi mereka yang telah membatu hatinya untuk mengingat Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata.

Surah Az Zumar: 22


اللَّهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ الْحَدِيثِ كِتَاباً مُّتَشَابِهاً مَّثَانِيَ تَقْشَعِرُّ مِنْهُ جُلُودُ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمْ وَقُلُوبُهُمْ إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ ذَلِكَ هُدَى اللَّهِ يَهْدِي بِهِ مَنْ يَشَاءُ وَمَن يُضْلِلْ اللَّهُ فَمَا لَهُ مِنْ هَادٍ 
Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.

Surah Az Zumar : 23)

Melalui ayat-ayat di atas, Allah Subhanahu Wa Ta'ala menjelaskan bahawa barang siapa yang sentiasa memandang positif dan yakin dengan semua peringatan yang disampaikan di dalam Al Quran dan menjadi Al Quran sebagai cara hidupnya, maka ia akan mampu memiliki hati yang selalu hidup dan memiliki daya kesedaran yang tinggi. Dia akan berfikir, bertindak, berinteraksi, belajar, bekerja, berakhlak, berkahwin, berkerjaya dan hidup keseluruhannya berpaksikan Al Quran, di bawah payungan hidayah Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan akan sentiasa berada di bawah bimbinganNya, semoga Allah Subhanahu Wa Ta'ala menambahkan kefahaman ilmuNYA kepada kita, dalam segala hal, Allahu a'lam..




APABILA MELIHAT LAUTAN CIPTAAN TUHAN


MATA KASAR
kita nampak air yang luas serta ombak yang tidak henti-henti memukul pantai..

MATA AKAL
kita akan nampak kepelbagaian jenis ikan di dalam yang boleh kita tangkap untuk dijual..

MATA HATI
akan nampak keagungan kehebata Allah Taa'la dan hikmah dalam ciptaan laut yang amat luas dan dalam yang dipenuhi dengan kepelbagaian kehidupan yang amat unik, cantik dan sempurna sehinggakan kita merasakan diri ini lemah, kerdil dan hina di hadapan Allah Taa'la..


semoga Allah Subhanahu Wa Ta'ala menambahkan kefahaman rahsia ilmuNYA kepada kita,
dalam segala hal, Allahu a'lam..