بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Salam Aidil Fitri dan Salam Perjuangan Akhir Zaman diucapkan kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat. Kita baru sahaja melalui tarbiah Ramadhan yang merupakan suatu proses dalam melahirkan atau menjadikan kita hamba Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bertaqwa. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala,
وَتَزَوَّدُواْ فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى وَاتَّقُونِ يَا أُوْلِي الأَلْبَابِ
….Sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah taqwa;
dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal
Surah al Baqarah: 197
Keseronokan dan kegembiraan menyambut hari raya jangan melalaikan kita untuk terus memohon kepada Allah v agar segala amalan soleh kita diterima, dosa kita pula diampunkan dan meneruskan perjuangan menegakkan Islam di atas muka bumi Allah Subhanahu Wa Ta'ala ini. Di samping itu jangan lah kita lupa untuk berdoa kepada saudara seagama kita di seluruh dunia yang mana ada dikalangan mereka sedang menyambut Aidil Fitri dengan bunyi dentuman letupan bom dan peluru dari pihak musuh-musuh Islam sedangkan kita di Malaysia sedang seronok bergembira mendengar bunyi mainan mercun. Pemimpin 'negara' umat Islam wajib berada di sof hadapan dalam membantu saudara seagama yang sedang menderita bukan mengecut di belakang musuh-musuh Islam.
Semoga dengan kedatangan Syawal dapat menyemarakkan lagi perjuangan Islam bermula dalam diri, keluarga dan masyarakat umumnya untuk meraih kemenangan dan mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku dalam bulan ini seperti Peperangan Uhud, Peperangan Ahzab atau Khandak dan Peperangan Hunain. Ketiga-tiga peperangan yang disertai oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersama para sahabat ini telah mencatatkan suasana, keputusan dan pengajaran yang berbeza untuk sama-sama kita renungi. Semoga dengan menyebut peristiwa bersejarah ini dapat menyemarakkan lagi semangat jihad ketika melawan nafsu dalam diri dan musuh nyata dari kalangan kuffar dan munafik. Terutama kita baru sahaja selesai menjalani tarbiah dalam menyuburkan jihad jiwa, hati dan tubuh melalui ibadat puasa dan jihad harta melalui zakat fitrah sepanjang Ramadhan yang baru lalu. Dari Jabir bin Abdillah r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda sewaktu pulang dari perang Tabuk,
“Kita telah kembali dari jihad kecil menuju jihad yang lebih besar.”
Mereka berkata,
“Apakah jihad yang lebih besar itu?”
Baginda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab,
“Jihad hati.”
(Hadis Riwayat Al-Baihaqi )
Peperangan Uhud yang berlaku pada pertengahan bulan Syawal tahun ke-3 Hijrah telah menyaksikan bagaimana tentera kafir Quraisy yang ingin membalas dendam di atas kekalahan dalam peperangan Badar setahun sebelum itu di mana mereka keluar dengan jumlah 3000 orang. Pada peringkat pertama, tentera Islam telah mencapai kemenangan tetapi akibat kumpulan pemanah yang telah melanggar perintah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam agar jangan meninggalkan tempat mereka walau apa pun yang berlaku. Tentera pemanah ini menganggap tentera Islam telah menang yang menyebabkan mereka turut serta memungut harta rampasan perang yang ditinggal musuh sehingga tentera berkuda musuh yang diketuai oleh Khalid Ibnu Walid mengambil peluang itu untuk melakukan serangan mengejut sehingga berlakunya kekalutan. Ini ditambah lagi dengan serangan bertubi-tubi dari setiap sudut kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallamsehinggakan ada yang mengganggap bahawa Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam telah wafat.
Akhirnya ada sahabat yang terpandang diri Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang masih hidup lalu melaungkannya sehingga membangkitkan semula semangat juang tentera Islam di mana selepas itu Baginda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersama 30 orang yang lain menuju ke suatu teluk di Bukit Uhud untuk mengatur perancangan perang yang baru. Pada peringkat kedua ini tentera Islam menerima ujian kekalahan di mana 70 orang telah gugur Syahid termasuk Sayyidina Hamzah bin Abdul Muttalib yang digelar Asadullah atau Singa Allah. Namun pada peringkat ketiga tentera Islam dapat bertahan apabila tentera kafir Quraisy yang tidak berpuas hati kerana tidak dapat membunuh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam telah mengatur langkah untuk menyerang Madinah tetapi tidak meneruskan perancangan mereka itu apabila mengetahui bahawa Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersiap untuk menyerang balas. Kekalahan pada peringkat kedua dalam peperangan Uhud ini akibat melanggar perintah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam selaku pemimpin serta rasa terlalu seronok dengan harta rampasan perang sehingga kurangnya pertautan hati dengan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
"وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده"
yang bermaksud :
"Dan Dialah (Allah) yang telah memenangkan tenteraNya serta mengalahkan tentera Ahzab".
Peperangan Ahzab yang bererti tentera bersekutu kuffar juga dikenali dengan nama peperangan Khandak yang bererti parit yang dibina oleh para tentera Islam sebagai kubu dalam menahan kemaraan musuh. Peperangan ini berlaku selepas penghalauan Yahudi Bani Nadhir oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dari Madinah setelah mereka cuba membunuh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Tentera bersekutu kuffar seramai 10,000 orang yang tiba ke tempat peperangan merasa terkejut apabila tiba berdekatan dengan kubu parit yang digali oleh tentera Islam memandangkan bangsa Arab sebelum ini tidak pernah berhadapan dengan cara itu dalam peperangan. Tentera Islam yang hanya berjumlah 3,000 orang pula terus bertahan di sebelah yang lain di mana pertempuran besar tidak berlaku dalam peperangan ini. Dalam peperangan ini hanya 6 orang tentera Islam gugur syahid manakala 10 orang musyrikin dibunuh.
Akhirnya Allah Subhanahu Wa Ta'ala datangkan kemenangan kepada tentera Islam dengan ribut pasir yang menyebabkan tentera musuh berundur disamping berlakunya kacau-bilau di antara mereka apabila pengintip yang dihantar oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam berjaya memecah belahkan kepercayaan antara tentera Ahzab. Kemenangan yang dicapai kerana kesatuan antara tentera Islam bermula daripada menggali parit lagi ketika sedang menunaikan ibadat puasa Ramadhan. Ini ditambah dengan ikatan hati mereka kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala disamping perancangan yang lain sehingga Allah v datangkan pertolongan dan kemenangan.
Peperangan Hunain yang berlaku pada bulan Syawal tahun ke-8 hijrah iaitu selepas Pembukaan Kota Mekah. Bilangan tentera musuh antara 20,000 hingga 30,000 orang manakala tentera Islam pimpinan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam berjumlah 12,000 orang iaitu 10,000 dari Madinah dan 2,000 dari Mekah telah keluar menuju ke lembah Hunain. Peperangan ini menyaksikan bagaimana pada peringkat pertama tentera Islam hampir kalah akibat diserang dari pelbagai penjuru oleh musuh para sahabat menyangkakan bahawa Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam telah wafat. Ketika suasana yang kacau bilau ini lalu Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam melaungkan suara bagi membangkitkan kembali semangat jihad tentera Islam sehingga Baginda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersama 200 tentera yang terus berjuang bukan sahaja berjaya mengalahkan tentera musuh yang ramai malah berjaya mengepung musuh di Taif.
Akhirnya Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam tidak melakukan sesuatu kepada musuh yang dikepung itu sebaliknya berdoa kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala agar mereka memeluk Islam. Peperangan ini menyaksikan bagaimana tentera Islam hampir kalah pada peringkat pertama kerana mereka begitu yakin akan menang dengan jumlah tentera yang ramai berbanding peperangan sebelum ini, pertautan hati dengan Allah Subhanahu Wa Ta'ala begitu kurang kerana terlalu memikirkan harta rampasan perang yang bakal diperolehi disamping ramai di kalangan tentera ialah daripada golongan yang baru memeluk Islam di mana keimanan dan semangat jihad mereka masih lemah. Namun Allah Subhanahu Wa Ta'ala tetap datangkan kemenangan kerana masih ada tentera Islam yang tinggi semangat jihad serta pertautan hati mereka dengan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Kita juga haruslah memohon agar Allah Subhanahu Wa Ta'ala menjadikan kita sebagai hambaNya yang dapat meneruskan amal soleh hasil daripada tarbiah Ramadhan pada bulan-bulan yang lain dengan penuh istiqamah. Antara cara untuk memiliki sifat istiqamah ialah:
1- Memahami dan mengamalkan dua kalimat syahadah dengan baik dan benar kerana tanpa mengenali Allah Subhanahu Wa Ta'ala serta taat kepadaNya menyebabkan manusia tidak kenal siapa dirinya dan tujuan dia dijadikan serta ke mana tempat kembalinya selepas ini.
2- Sentiasa mempelajari, mengkaji, memahami dan menghidupkan Al Quran dan as Sunnah dengan menghayati dan merenungkannya kerana ia merupakan ubat mujarab dalam mengubati penyakit zahir dan batin bagi setiap manusia.
3- Beriltizam atau berterusan dalam menjalankan syariat Allah Subhanahu Wa Ta'ala termasuk amal ibadat seperti solat berjemaah, puasa, membaca al Quran, berzikir, bersedekah, menutup aurat, memakmurkan masjid dan majlis-majlis ilmu dan sebagainya, dan tidak berhenti dengan berlalunya Ramadhan.
Situasi sekarang semakin rumit apabila umat-umat Islam berperang sesama sendiri akibat perbezaan pegangan mazhab dan fahaman yang mana akhirnya ia memberikan peluang dan keuntungan kepada musuh-musuh Islam untuk terus mempermainkan dan melagakan umat Islam. Di tambah lagi dengan keadaan para ulama yang gagal 'menafsir dunia moden' ini antara jalan betul atau sebaliknya. Ingatlah penjajah yakni musuh-musuh Islam tidak berani menukar sesuatu dari ajaran Islam tetapi anak didiknya yang mengaku pejuang bangsa dan agama Islam yang berani menukarnya kerana mereka diberi sedikit 'kuasa' tetapi mereka terlalu hina akibat meletakkan Allah Subhanahu Wa Ta'ala lebih rendah dari urusan dunia mahupun menyebut 'Allahu Akbar' di dalam solat tetapi tidak mahu memahami atau sengaja tidak mahu demi nikmat duniawi. Ingatlah Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman,
كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَما الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ مَتَاعُ الْغُرُورِ
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya
Surah Al i'Imran: 185
Takbir 'Allahu Akbar' merupakan ikrar yang menyatakan selain daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala adalah kecil dan lemah. Tiada yang seumpama Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Semoga semangat menyambut hari raya bersamaan dengan semangat memperjuangkan Islam di Akhir Zaman ini. Kita seharusnya berusaha sebaik mungkin untuk melaksanakan sistem al Quran dan as Sunnah dalam kehidupan seharian kita yang mana dalam tidak sedar kehidupan kita telah di hujani dengan pelbagai fitnah yang dikepalai oleh Al Masih Al Dajjal melalui iblis dan syaitan dan juga bala tenteranya iaitu pakatan Zionist Yahudi Nasrani.
Gema takbir membesarkan Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan tahmid memuji Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang berkumandang setiap kali tibanya hari raya mestilah meresap ke dalam hati sanubari bukan setakat disebut di mulut sahaja. Pastikan laungan hari raya itu dijadikan ikrar taat setia kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dalam setiap tindak tanduk kita termasuk menyambut hari raya yang merupakan hari gembira. Nikmat hari raya ini mesti digunakan untuk merapatkan lagi hubungan kekeluargaan dan silaturrahim sesama kita. Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda,
Sesiapa yang mahu diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya,
maka hendaklah dia menghubungkan silaturrahim
(Hadis Riwayat Muslim dan Bukhari)
Perbanyakkan bersedekah agar mereka yang memerlukan bantuan turut bergembira dan ziarahilah sanak saudara pada hari yang mulia ini bagi merapatkan lagi tali persaudaraan. Rebutlah peluang untuk menambahkan saham akhirat dengan berpuasa enam hari dibulan Syawal bagi menyahut sabda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda,
Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan,
dan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal,
maka seolah-olah dia telah berpuasa selama setahun
(Hadis Riwayat Muslim)
Jadikanlah diri kita sebagai pendokong perjuangan Islam yang sanggup berkorban apa sahaja untuk agama sama ada kita menjadi pemimpin atau orang bawahan, kaya atau miskin, senang atau susah, tua atau muda. Yakinlah bahawa Islam pasti menang walau pun ia ditentang. Islam semakin subur ketika kekufuran semakin kabur, Islam semakin dijulang ketika kekufuran semakin hilang, Islam semakin hampir kepada kemenangan ketika kekufuran mula hampir kepada kehancuran.
Salam Aidil Fitri, Maaf Zahir & Bathin,
semoga Allah Subhanahu Wa Ta'ala menambahkan kefahaman rahsia ilmuNYA kepada kita,
dalam segala hal, Allahu a'lam..
dalam segala hal, Allahu a'lam..

