Kenyataan Penting Sheikh Imran Nazar Hosein Berhubung Konflik Terbaru Syria - Turki

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَتَّخِذُواْ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاء بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللّهَ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ 
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.

Surah Al Maidah: 51




Khamis, 8 Sya'ban 1433

Kita bakal menyaksikan apa yang telah lama sebelum ini kita jangkakan, iaitu: Satu serangan ke atas Syria yang diketuai oleh Turki bersama dengan NATO untuk menumbangkan regim Syria sekarang dan menggantikannya (seperti mana yang telah berlaku di Libya sebelum ini) dengan apa yang dikatakan sebagai 'Kerajaan Islam'. Bukankah ini merupakan satu peluang bagi Israel untuk menuduh bahawa 'Kebangkitan Islam' sekarang memberi ancaman kepadanya dan Israel sekarang dikelilingi dengan ancaman Islam dan ia perlu melancarkan peperangan 'pre-emptive' atau peperangan pencegahan keganasan untuk kelangsungan dirinya? Dan bukankah ini juga satu peluang bagi Israel untuk mengambil alih peranan Amerika Syarikat sebagai kuasa dunia seterusnya dengan melancarkan peperangan-peperangan yang dahsyat - terutamanya terhadap negara-negara jiran Arab yang mengelilingi negara Zionis tersebut?

Kerajaan Turki yang pro-NATO dan seterusnya pro-Zionis dilihat akan melaksanakan satu tindakan yang amat bodoh apabila menuduh tindakan Syria menembak jatuh pesawat pejuang Turki sebagai causus bellum (alasan untuk memulakan peperangan) yang mengabsahkan pencerobohan ketenteraan ke atas Syria. Pencerobohan ketenteraan ke atas Syria tersebut tentulah tidak ada kena-mengena dengan tindakan Turki untuk membalas dendam terhadap kemusnahan sebuah pesawat pejuang dan dua orang pemandu pesawat tersebut. Sebaliknya, tujuan utama pencerobohan ketenteraan tersebut nanti adalah untuk menukar regim Syria yang sedia ada.




Tindakan ketenteraan tersebut merupakan satu tindakan yang amat bodoh berdasarkan sebab-sebab berikut:

1) Syria selama ini telah lama mengambil langkah berjaga-jaga dalam menjangkakan campur tangan asing (seperti mana yang telah berlaku di Libya) seperti mana apa yang sedang berlaku di Syria sekarang di mana pemberontakan bersenjata yang dirancang oleh Zionis masih gagal untuk mengambil alih negara tersebut. Sehubungan dengan itu, insiden pencerobohan pesawat pejuang Turki dalam ruang udara Syria tidak boleh dilihat, dalam apa keadaan sekalipun, sebagai pencerobohan yang tidak berbahaya.

2) Sekiranya Rusia dan China bertindak balas terhadap pencerobohan ketenteraan ke atas Syria dengan memberi sokongan (ketenteraan) kepada Syria, perkara ini akan mencetuskan Malhama (perang yang dahsyat) seperti mana yang telah disebut oleh Nabi Muhammad s.a.w. Malhama tersebut sungguh dahsyat dan menyebabkan perang dunia pertama dan kedua tidak signifikan berbanding perang tersebut.

3) Kerajaan Turki perlu mengambil perhatian bahawa Rasulullah s.a.w. juga ada menyebut bahawa Malhama atau perang yang dahsyat tersebut akan membawa kepada penaklukan Constantinople. Orang Islam di Turki tidak akan mengambil masa yang lama untuk menyedari bahawa penaklukan Constantinople pada tahun 1453 oleh Sultan Muhammad Fatih tidak ada kena-mengena dengan sabda Rasulullah s.a.w. tentang penaklukan tersebut. Orang Islam di Turki kelak akan sedar tentang pengkhianatan besar kerajaan pro-Zionis mereka dan bersedia untuk menghadapi perang saudara yang akan membenarkan sabda Rasulullah s.a.w. tersebut.

4) Sehubungan dengan itu pencerobohan ketenteraan Turki terhadap Syria akhirnya akan membawa kepada perang saudara di Turki dan pembebasan bandar Constantinople daripada cengkaman berbisa NATO.

5) Oleh kerana Rusia dilihat tidak dapat tidak akan turut serta dalam peperangan tersebut untuk mempertahankan Syria, pencerobohan ketenteraan Turki ke atas Syria akan membawa kepada pembenaran satu lagi sabda Nabi Muhammad s.a.w., iaitu: "bahawa kamu (orang Islam) akan memeterai satu persepakatan dengan Rum." Rum dalam al-Qur'an merujuk kepada Empayar Kristian Byzantine Timur. Tetapi setelah Constantinople ditakluk pada tahun 1453, ibu kota Rum akhirnya terletak di Moscow.




Kenyataan yang dikeluarkan ini diharap dapat dijadikan panduan oleh orang Islam agar mereka tidak menjadi mangsa propaganda 'Jihad' Islam Protestan yang ditaja oleh Zionis, dan CNN/Al-Jazeera yang berfungsi untuk mengalihkan setiap pandangan masyarakat dunia sekarang terhadap apa yang sebenarnya berlaku.

#teks asal : Diterjemah oleh: Al-Malakian Bin Muhammad

semoga Allah Subhanahu Wa Ta'ala menambahkan kefahaman rahsia ilmuNYA kepada kita, 
dalam segala hal, Allahu a'lam..