"LA ILAHA ILLALLAH".. "LA ILAHA ILLALLAH".. "LA ILAHA ILLALLAH"..
Adakah dengan menyebut kalimah di atas sudah memadai untuk membuktikan pengakuan diri kita bahawa ALLAH SWT itu Tuhan Yang Maha Esa ?
Adakah dengan basahnya lidah dan berbuihnya mulut kita membaca kalimah agung "LA ILAHA ILLALLAH" berulang-ulang kali sehari semalam sudah cukup untuk mengesahkan kesaksian diri kita bahawa tiada Tuhan selain ALLAH Yang Satu ?
Sedangkan...
Di kebanyakan hari yang dilalui, sama ada secara sengaja mahu pun tanpa sedar, tingkah perbuatan dan lintasan hati kita sering menyekutukan ALLAH dan menyandarkan harapan kepada selain dariNya.. Akibat dari kejahilan kita 'melihat' dan 'merasa' kewujudan dan kekuasaan ALLAH SWT di dalam setiap gerak perjalanan dunia sekeliling kita..
Jika kita berterusan menjalani hidup sebegitu, adakah masih sah pengakuan Tauhid kita kepada ALLAH ?
Apakah ALLAH akan menerima penyaksian "LA ILAHA ILLALLAH" yang sering kita disebut-sebutkan itu ?
Hakikatnya, penyaksian kalimah agung "LA ILAHA ILLALLAH" bukan sekadar untuk dilafazkan di lidah, tetapi wajib seiring dengan setiap amal perbuatan sehari-hari dan juga setiap gerak dan lintasan hati.. ALLAH menilai apa yang terkandung di dalam hati kita, bukan sekadar apa yang diperbuat oleh tubuh anggota dan apa yang kita lafazkan di mulut..
Bukankah ada manusia yang mengaku berjuang demi Islam dan telah terbunuh di medan perang memerangi musuh-musuh Islam tetapi tempat akhirnya adalah di dalam Neraka, kerana apa yang tersirat di dalam hatinya yang sebenar tidak seiring dengan apa yang diakui oleh lidahnya..? Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui setiap apa yang ada di dalam hati kita..
Berikut adalah sebahagian peringatan dari Sheikh Abdul Qadir Al Jailani untuk sama-sama kita renungi :
"Wahai manusia..!
Siapakah yang memberi engkau makan ketika engkau berada di dalam rahim ibumu? Engkau hanya bergantung dan bersandar kepada dirimu sendiri, kepada manusia, kepada dinarmu, dirhammu, kepada permulaanmu, kepada pembelianmu dan kepada pemerintah negaramu."
"Setiap orang yang engkau gantungkan harapanmu kepadanya, maka dialah Tuhanmu..! Setiap orang yang engkau takuti dan engkau harapkan, dialah Tuhanmu..! Setiap orang yang engkau anggap akan mendatangkan manfaat dan mudharat kepadamu, sementara engkau tidak melihat bahawa ALLAH yang menggerakkan semua itu, maka dialah Tuhanmu..!"
Maka khuatirlah tentang diri kita jika kalimah "LA ILAHA ILLALLAH" hanya lancar di lidah, tetapi perbuatan dan hati kita masih bertentangan dengan apa yang diperakui oleh lidah akibat masih menyandarkan sesuatu kepada selain dari ALLAH.. Na'uzubillah..
Semoga ALLAH kurniakan keyakinan dan kebenaran Tauhid yang hakiki ke dalam hati kita semua agar setiap perbuatan anggota dan percakapan lidah kita adalah terhasil dan lahir seiring dengan penyaksian "LA ILAHA ILLALLAH" yang tersemat di dalam hati.. Amin..
Allahu a'lam..
